geng bloger

nafnag

Sunday, May 9, 2010

keje....keje...keje




















Bekerja untuk mencari rezeki yang halal memang memenatkan. Malah ia mampu memberikan tekanan kepada sesiapa sahaja. Apatah lagi jika kerja yang anda lakukan berhadapan dengan 'deadline' dan tarikhnya pula semakin hampir.

Ada juga sesetengah kerja yang memaksa seseorang itu berhadapan dengan orang ramai yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Jika tidak dituruti karenah tersebut, mungkin anda akan terlepas peluang menarik. Jadi mahu atau tidak, anda terpaksa merelakannya walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa tertekannya anda.

Untuk itu, di sini diperturunkan lima cara mudah untuk anda mengurangkan tekanan di tempat kerja. Anda tidak memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya, namun ia mampu memberikan anda kesegaran dan tenaga baru untuk menghadapi hari yang panjang.
1. Cuci muka
Terlalu lama duduk menghadap komputer memang memenatkan. Apa kata anda bangun sebentar dan pergi ke tandas untuk mencuci muka. Kesejukan air itu sudah pasti mampu memberikan anda kesegaran baru. Jika anda bernasib baik, mungkin anda akan mendapat beberapa ilham baru yang pastinya akan menguntumkan senyuman di bibir anda.
2. Membaca kisah lucu
Kisah-kisah lucu yang banyak dikirimkan oleh rakan-rakan melalui emel mungkin boleh digunakan ketika ini. Dengan membaca beberapa kisah lucu yang pendek, ia mampu membuatkan anda ketawa sendirian, sekaligus menjauhkan anda daripada tekanan kerja yang membelenggu anda. Selepas melepaskan tekanan melalui ketawa, anda kini lebih bersedia untuk menyambung pekerjaan yang sedang diusahakan.
3. Berbual dengan rakan
Di pejabat sudah pasti anda mempunyai ramai kawan. Untuk melepaskan tekanan, anda tidak semestinya perlu berbual dengan rakan rapat sahaja. Adakalanya rakan-rakan baru juga boleh menjadi tempat anda meluahkan rasa sekaligus mengurangkan tekanan yang anda tanggungi. Mungkin dengan perkenalan baru itu anda dapat menambahkan kawan serta peluang untuk bertukar-tukar fikiran dengan orang lain yang mempunyai latar belakang berbeza. Tetapi janganlah keterlaluan kerana orang lain juga pastinya mempunyai kerja yang mereka harus siapkan juga.
4. Ke kafetaria
Setelah seharian penat bekerja dan mengerah otak, tidak salah jika anda meluangkan sedikit masa untuk ke pantri atau kafetaria. Belilah sedikit makanan untuk mengisi perut anda yang berkeroncong. Rasa lapar yang ditanggung bukan membantu sebaliknya boleh menambahkan lagi tekanan yang dialami. Apabila sudah kenyang, anda pasti lebih selesa untuk meneruskan kerja yang terbengkalai sebentar tadi.
 
5. Berjalan seketika
Jika tekanan yang anda tanggung masih belum berkurangan, apa kata anda bangun sebentar dan berjalanlah di sekitar pejabat anda. Ambil masa beberapa minit untuk anda mencari ketenangan dan kekuatan untuk menyelesaikan segala tugasan yang diberikan. Dengan berjalan dan meninjau persekitaran tempat anda bekerja, ia mungkin boleh memberikan anda idea untuk bekerja dengan lebih berkesan. Jika anda bertuah, anda mungkin akan bertemu dengan seseorang yang mampu membantu anda. Apa yang penting anda tidak malu untuk bertanya dan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

No comments: