geng bloger

nafnag


Wednesday, March 3, 2010

adui ader tembak kekasih tak phm aku...

Persis adegan filem Hindustan, seorang ‘heroin’ yang berlumuran darah terpaksa berlari meminta pertolongan daripada jiran sambil memegang tangannya yang cedera akibat ditembak teman lelakinya, seorang anggota polis sebelum jatuh pengsan akibat kehilangan banyak darah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, mangsa, G Prema, 24, terpaksa menahan kesakitan ketika berlari menyelamatkan diri, malah kesan titisan darahnya jelas kelihatan di sepanjang laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri didiaminya.


Sebelum itu, orang ramai yang berada di warung berhampiran Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, dikejutkan bunyi beberapa das tembakan, lalu bergegas ke lokasi bagi mengetahui punca kejadian. Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal, 30, memberitahu, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya berehat di bahagian bawah pangsapuri berkenaan dan terkejut apabila mendengar tembakan.


“Pada mulanya saya hanya menyangka ada penghuni meraikan majlis sambutan dan bunyi itu daripada mercun yang dibakar.


“Namun tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan seorang wanita dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.


Harian Metro difahamkan wanita terbabit pengsan sebaik tiba di hujung laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri itu sebelum dibantu orang ramai.

Mangsa dipercayai terkena dua das tembakan yang dilepaskan teman lelakinya sebelum cuba menyelamatkan diri dan meminta pertolongan jiran.


Difahamkan sebelum kejadian, konstabel terbabit yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini, dikatakan berselisih faham dan bergaduh dengan anggota keluarga teman wanitanya.


Suspek dipercayai turut bergelut dengan anggota keluarga teman wanitanya menyebabkan dia cedera pada beberapa bahagian tubuh.


Abang mangsa, G Devandran, 25, juga dilaporkan mengalami cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru.


Suspek bersama kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.


Harian Metro difahamkan, selepas kejadian itu, suspek dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpair, tetapi digagalkan polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas dimaklumkan orang awam.


Difahamkan, suspek dan mangsa yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, bergaduh kerana beberapa masalah peribadi sebelum anggota polis terbabit melepaskan tembakan.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohamad Sabtu Osman, ketika ditemui mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu kini dalam siasatan.


“Suspek adalah konstabel sokongan dan berkhidmat selama lapan tahun di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan belum tetap perkhidmatannya,” katanya. Beliau berkata, suspek bertengkar dengan mangsa sebelum melepaskan empat das tembakan yang mengenai wanita dan abangnya di rumah mereka di Pangsapuri PPR Kerinchi.


Prema cedera di dagu kanan dan jari kiri, manakala Devandran, cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

No comments: